Monday, May 27, 2013

Elemen Grafik



Garisan (Line)

Garisan merupakan satu laluan (path) antara dua titik. garisan boleh jadi lurus, melengkung, tegak, mengufuk, pepenjuru, atau zig-zag. Garisan disifatkan sebagai gerakan dan arah atau haluan. Garisan juga merupakan suatu yang tersirat di mana ia menggantikan fikiran apabila beberapa titik berkedudukan secara geometri dalam satu rangka. Contohnya, meletakkan empat titik di satu muka surat yang membentuk segi empat boleh menyifatkan titik-titik tersebut berhubungan apabila fikiran mencari bentuk corak yang dapat dikenalpasti. Tepi bentuk dan rupa bentuk menghasilkan garisan.
 
Arah dan orientasi satu garisan boleh juga menandakan perasaan tertentu. Garisan melintang menandakan sebagai ketenangan dan berhenti, manakala garisan menegak menandakan kuasa dan daya. Garisan condong menandakan sebagai gerakan, tindakan dan perubahan. Garisan melengkung atau garisan berbentuk S menandakan senyap, tenang dan perasaan berahi. Garisan yang bertumpu menandakan kedalaman, skala dan kejauhan iaitu pagar atau jalan yang bertumpu memberi jarak ilusi daripada imej dua dimensi menjadi kedalaman tiga dimensi. Garisan merupakan elemen grafik yang berkesan kerana garisan boleh membimbing pandangan mata.

Garisan Melintang
Garisan Menegak


Garisan Melengkung
Garisan Bertumpu



Bentuk (Shape)

Bentuk ditakrifkan sebagai kontur yang tertutup dan merupakan elemen yang ditakrifkan melalui parimeternya. Bentuk adalah rata serta mempunyai panjang dan lebar. Contoh bentuk asas ialah bulatan, segi empat tepat dan segi tiga seperti rajah di bawah.



Rupa Bentuk (Form)

Rupa bentuk mempunyai bentuk dan struktur elemen dimensi dalam komposisinya. Rupa bentuk boleh menjadi dua dimensi dan tiga dimensi serta boleh menjadi realistik, abstrak atau lain-lain. Sebenarnya rupa bentuk berasal daripada gabungan titik, garisan dan bentuk. Contoh rupa bentuk ditunjukkan seperti rajah di bawah.


Ruang (Space)

Ruang ialah kawasan yang disediakan untuk tujuan tertentu. Ruang boleh menjadi dua dimensi (mempunyai panjang dan lebar) seperti lantai atau mempunyai tiga dimensi (mempunyai panjang, lebar dan tinggi). Ruang mempunyai latar belakang (background), latar depan (foreground) dan pertengahan (middle ground). Ruang merujuk kepada jarak atau kawasan sekitar antara atau dalam sesuatu komponen.
 
Terdapat dua jenis ruang iaitu ruang positif dan ruang negatif. Ruang positif merujuk kepada ruang dalam subjek manakala ruang negatif merujuk kepada ruang di sekitar luar subjek. Merujuk kepada gambar rajah di bawah, ruang yang membentuk menara adalah ruang positif manakala ruang di sekeliling menara iaitu ruang yang berwarna putih adalah ruang negatif.





Warna

Warna adalah elemen penting dalam setiap rekaan (design) ketika mereka bentuk identiti rekaan. Penggunaan warna dalam seni tidak terbatas kepada pantulan atau pembiasan cahaya, tetapi warna digunakan untuk reka bentuk menjadi lebih menarik. Terdapat tiga jenis warna iaitu warna primer, warna sekunder dan warna tertiari. Kebiasaanya, kombinasi warna yang digunakan adalah kontras/bertentang untuk menjadikan rekaan lebih menarik. Sub elemen yang dimasukkan dalam warna ialah 'nilai' / value, yang menentukan perbezaan antara kecerahan dan kegelapan bagi shade. 

Tekstur

Tekstur digunakan untuk membuat rupa permukaan dan berkaitan dengan rias bentuk tertentu. Tekstur merujuk kepada kualiti permukaan bagi bentuk iaitu sama ada licin, kasar atau berkilau. Tekstru boleh menjadi secara tekstil atau secara visual.

Tekstur secara tekstil

Tekstur secara visual



Nilai (Value)

Value atau juga dikenali kecerahan (brightness) merujuk kepada perkaitan antara pencahayaan dan kemalapan warna atau sampel. Value berbeza sama ada hue wujud atau tidak. Value mudah difahami sebagai nilai berskala siri iaitu dari gelap ke cerah.


No comments:

Post a Comment